Ahad, 2 Januari 2022

Pengenalan Projek Santun Masyarakat

Latar belakang Program PSM
Program PSM ini merupakan sebuah tugasan daripada kursus Insan Guru Profesional (KPG3013), kursus baharu yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan unggul di Malaysia memperkenalkan tugasan PSM untuk menerapkan reka bentuk Serving Learning Malaysia (SULAM), dimana program ini yang lebih memfokus kepada memupuk disiplin pendidikan kepada mahasiswa/i. Seiringan itu, kami menjalankan beberapa bentuk kajian untuk program ini, yang menyasarkan komuniti kajian yang spesifik, mengenal pasti masalah kelompok sasaran dan menyediakan inisiatif penyelesaian masalah tersebut. Setelah beberapa analisis keperluan dan perbincangan, kami bersetuju memilih guru sebagai komuniti sasaran untuk PSM kami, dan kemudiannya bercadang untuk melaksanakan penghasilan dan perkongsian bahan bantu mengajar (BBM) yang menarik untuk kegunaan guru Kimia sekolah menengah yang dihasilkan oleh kami sendiri; mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris yang mengambil kursus Insan Guru Profesional (KPG3013), AT13C kumpulan 5.

Cadangan untuk menghasilkan e-modul ini bermula melalui pemerhatian ahli-ahli kumpulan kami, dimana sejak penularan pandemik Covid-19 bermula pada 2019 yang lalu, dan pengenalan kepada pembelajaran atas talian, telah menyebabkan pendidikan di negara Malaysia menjadi semakin mencabar. Hal ini meningkatkan kesukaran guru dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian dari segi bahan dan teknik pengajaran yang digunakan. Keadaan dan cabaran yang terpaksa guru hadapi ini kemudiannya bakal membawa kepada masalah pelajar sukar memahami sesuatu topik yang diajar secara atas talian. Maka dengan pelaksanaan Program Santun Masyarakat (PSM), muncul idea untuk menyediakan satu inisiatif baharu untuk kegunaan para guru seperti bahan pengajaran dalam bentuk e-modul, dengan objektif utama adalah untuk membantu guru dalam mempermudah pengajaran serta memupuk pemahaman pelajar dalam topik kimia dengan lebih senang dan berkesan. Selain itu, pengedaran e-modul untuk komuniti guru di Malaysia juga bakal diadakan dengan cara memuat naik bahan pengajaran rekaan kami di laman Blogspot agar dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh sebanyak mana pun orang.


Objektif Program PSM
Objektif Program PSM ini dijalankan adalah untuk:
i)    menghasilkan e-modul dan video pengajaran yang berkesan membantu komuniti
       sasaran dalam penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) kepada pelajar;
ii)   menyediakan inisiatif Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) yang sesuai dengan tahap
       pelajar; dan
iii)  mempertingkatkan kefahaman dan minat pelajar dalam proses pembelajaran subjek
       Kimia.


Impak Pelaksanaan PSM
Setelah selesai berlangsung program ini, terdapat beberapa impak yang boleh diperolehi komuniti sasaran, masyarakat dan Insan Guru Profesional (guru-guru lain) iaitu:

i. Komuniti Sasaran
Komuniti sasaran iaitu guru-guru yang terpilih ini akan memperoleh bahan pengajaran yang fleksibel yang sesuai dengan kehendak mereka, yang boleh mempermudah dan menarik keterujaan intelektual pelajar dalam mendalami subjek Kimia.

ii. Insan Guru Profesional
Insan Guru Profesional (IGP) merupakan guru-guru yang berpengalaman namun menghadapi masalah yang sama seperti komuniti sasaran kami. Melalui perkongsian kami di laman Blogspot, IGP ini dapat meneroka bentuk e-modul yang mampu mempertingkat minat pelajar dalam subjek Kimia, sekaligus menggilap kemahiran dan pengetahuan pelajar untuk menyelesaikan masalah.

iii. Masyarakat
Bukan sahaja IGP dan komuniti sasaran, kelompok masyarakat lainnya seperti pelajar juga boleh mengakses laman blog kami, dimana terdapat perkongsian e-modul berselit aplikasi dan permainan bercorak pendidikan. Melalui PSM ini, mereka dapat membina kemahiran menyelesaikan masalah-masalah berkait topik Kimia, serta melahirkan sifat bekerjasama memahami sesuatu permasalahan dan mencari penyelesaian.


Sasaran Komuniti PSM
Program PSM ini menyasarkan guru subjek Kimia dan pelajar bimbingan mereka dari sekolah menengah yang berlainan dari negeri masing-masing.